Friday, 13 June 2014

Tertutup dalam terbuka, keterbukaan yang tertutup.


Kau kata kau terbuka, tapi sebenarnya kau dusta.
Yang terbuka biasanyalah yang banyak menyulam dusta di sebalik keterbukaannya.
Sebab kau terbuka, kau takut diadili dan dihukumi.
Lantaran itu, kau bina imej dengan status elok-elok agar kau disanjungi.
Sedangkan apa yang kau kongsi hanyalah sebuah harapan, yang masih belum kau capai lagi.

Kemudian, kau kongsi pula ‘kejujuran’ dalam masalah kau.
Kononnya si polan si polan menganiaya, membuka aibmu.
Walhal engkau yang menyerang si polan si polan tanpa dia berdaya untuk membela dirinya.

Sebab itu kawasan kau, bukan kawasan dia. Kau raja dalam kawasan kau. Apa yang kau titah, dijunjung. Tanpa orang mengetahui kebenarannya. Lantas yang menjunjung memberikan tak putus memberikan sokongan mereka. Kau rasa kau gagah! Kau rasa kau berkuasa.

Sebegitu mudah lembaran fitnah tersebar, dengan ‘kejujuran’ kau yang bohong itu, dengan pembongkaran kau yang prejudis, satu demi satu bidasan, tuduhan dan serangan dilancarkan, bagaikan Yahudi menyerang tanah Palestin dengan bedilan peluru dan bom.
Tanpa Palestin berupaya untuk melindungi dirinya. Hancur, musnah!

Kau senyum puas. Kawan kau tersenyum puas. Syaitan juga tersenyum puas.

Sedarlah, dah berapa kali kau sedih kerana ada yang komen secara tidak berlapik di status mu.
Terus kau padam. Terus kau berdendam.
Kau sentap. Kau hidangkannya hadis-hadis konon tak baik buka aib terang-terangan.
Tapi bukankah kau juga buka aib terang-terangan? Dan kau menambah bebanan dosa bagi yang tidak mengetahui kisah sebenar. Malahan, bukan aib yang kau buka, sebaliknya fitnah pula yang kau tabur.

Setiap ‘like’ itu mencatat satu dosa bagi yang konon mengagumi ketabahan kau.
Sedangkan mereka tidak tahu tabah lagi yang dikatanya. Kerana walau boleh untuk membalas. Dia tetap memilih untuk menutup aibmu. Aib yang sebenar-benar aib. Tapi kau tak bersyukur.
Kau tetap lempar fitnah kepadanya. Dari tahun ke tahun. Tapi yang peliknya, dia pula yang kau salahkan.
Kata kau, itu balasan dosa silam, dosa semalam. Walha dosa silam, dosa semalam kau dia kuncikan walaupun dia boleh untuk menyebarkannya kerana dendam.

Tapi apa gunakah dendam? Ya, hatinya perit. Hatinya sakit. Tapi dia tetap diam berpeluk tubuh.
Hanya kerana seringkali, apabila dia terus bersabar, dia nampak ada yang membalas untuknya.
Lantas kau marah, kau hiba lagi! Dia turut kasihan. Tapi kau tetap tak pernah berubah.

Walau harapan kau tinggi menggunung. Tapi hati kau tetap sama.
Walaupun luaran kau hijabkan. Hati kau tidak kau hijabkan.
Ketahuilah, hijab yang sebenar-benar hijab adalah dari hati. Dengan menutup sebaik-baik bukan sahaja aib diri tetapi aib orang yang kau dendam. Serapat-rapatnya. Walaupun hati meronta-ronta,
Gelora berombak-ombak untuk membalas perbuatanmu.

Semoga Yang Esa kuatkan azamnya. Mungkin satu hari imannya turut tipis akibat provokasi kau
Tapi aku doakan dia tidak. Sebab dah bertahun-tahun dia tidak. Moga selama-lamanya tidak.

Bangkai gajah ditutup dengan nyiru pun tiada gunanya.
Tanpa perlu dia yang mengungkapnya.
Satu hari nanti tetap berbau.

Tetap. Berbau.


No comments:

Post a Comment