Monday, 27 August 2018

5 Pesanan Bagi Wanita Yang Di Ambang Perceraian / Mengalami Perceraian


Salam semua,

Seperti semua sedia maklum, kadar perceraian dewasa ini semakin meningkat. Antara faktor yang menyumbang pada kadar perceraian yang tinggi ini antaranya ialah faktor kewangan, faktor orang ketiga, faktor rumahtangga tidak bahagia dan pelbagai lagi.

Tak kiralah apa sekali pun faktor yang mengakibatkan sesebuah rumahtangga itu goyah dan akhirnya runtuh, perlu diingatkan bahawa sebenarnya tiada sesiapa pun yang tidak mahukan rumahtangganya kekal bahagia dan sempurna. Tentu sekali semuanya berharap perkahwinan mereka itu seumur sekali hidup dan tidak berakhir dengan perceraian. Namun ada kalanya perlu kita akur bahawa disangkanya panas berpanjangan tapi sayang sekali, hujan ribut petir pula di tengah jalan. Malah ada juga yang sehingga terpukul dek badai.

Tak siapa mahukan perceraian

Apa-apa sekalipun, kebiasaannya perceraian ini jarang-jarang sekali berlaku secara tiba-tiba. Tak kiralah sama ada perceraian itu dituntut oleh pihak wanita ataupun dilakukan oleh pihak suami, kebiasaannya, tentu sudah ada tanda-tanda awal yang menunjukkan bibit-bibit keretakan rumahtangga tersebut.

Artikel ini saya tujukan khas bagi mereka yang mahu menuntut cerai kerana tidak sehaluan dengan si suami mahupun yang sudah tawar hati kerana diceraikan suami tanpa sebab yang munasabah walaupun selama ini telah banyak berkorban harta benda dan jiwa raga. Semoga nasihat dan kata-kata dorongan ini mampu memperkasakan anda semua dalam melalui hari-hari yang mendatang. Insyallah.

1. Tentu Ada Hikmah Di Sebaliknya.

Nasihat ini mungkin kedengaran begitu klise sekali. Tetapi percayalah. Apa yang berlaku, tentu ada hikmahnya. Di sebalik setiap dugaan yang datang, tentu ada hikmah yang terselit, menanti kita untuk mengerti kejutan istimewa di sebalik perit tersebut.

Selepas melalui perceraian, saya tiba-tiba teringat kembali tentang satu drama yang menjadi kegemaran saya sewaktu saya masih remaja dahulu. Memetik kata-kata pelakon utama drama tersebut sewaktu kekasihnya meninggalkannya untuk orang lain, "Jika saya terus bersama dia, saya tahu saya hanya ada satu kemungkinan sahaja, iaitu menderita. Tetapi jika saya tinggalkan dia, kehidupan saya akan ada 10,000 jenis kemungkinan" - Xia Zhi Xing, My Lucky Star, 2007

Yakinlah, tuhan itu maha adil. Jika dia tutup satu pintu, maka dia akan bukakan lebih banyak pintu lagi untuk anda. Jika bukan kerana perceraian yang terjadi, saya pun takkan terjebak dalam dunia blogging seperti sekarang ini. Saya juga ti dak mungkin terfikir saya mampu untuk menawan Gunung Kinabalu, Puncak Tertinggi Asia Tenggara, belajar bahasa keempat, serta berkenalan dan bertukar idea dengan lebih ramai rakan-rakan yang baik.

Fikirkan hikmah di sebalik musibah


2. Perceraian Tersebut Bukan Salah Anda

Bila berlaku perceraian, seringkali wanita dipersalahkan dengan 1001 sebab. Ada sahaja yang tak kena. Malah wanita dilabelkan dengan 1001 gelaran. Isteri pemalas, tak pandai jaga suami, tak pandai ambil hati mak mertua, tak dapat restu mertua, tak pandai berhias dan macam-macam lagi.

Tapi saya cuma mahu beritahu satu sahaja, semua ini bukan salah anda.  Kenapa? Kerana semua orang mempunyai kekurangan. Malah tak kurang juga pasangan yang mempunyai kelemahan yang sama, tetapi jodoh mereka tetap berpanjangan. Bukankah begitu? Oleh itu, tak guna pun terus menyalahkan diri dan membiarkan diri anda dibelenggu perasan negatif. Anggap saja ia satu pengalaman dan fokus sahaja pada membina masa hadapan anda.

Ingat, bukan salah anda. Sudah-sudahlah menyalahkan diri


3. Kegembiraan Anak-anak terletak pada kegembiraan dan kebahagiaan anda

Sebagai seorang ibu, seringkali kita bersabar dan bertahan hanya kerana anak-anak walaupun rumahtangga dilanda badai. Biasalah, ibu mana yang mahu anaknya kurang kasih sayang seorang bapa atau hidup dalam keluarga yang bercerai-berai.

Ini antara dilema yang saya sendiri alami. Mampukah anak-anak bahagia kalau ibu bapa bercerai? Mujurlah pada waktu itu saya telah diberikan nasiht yang paling membantu sepanjang hidup saya daripada bos saya sendiri. Katanya, ramai yang seboleh-boleh mempertahankan perkahwinan yang pincang kerana mereka kasihankan anak. Tetapi yakinlah, kalau perkahwinan anda porak-peranda (terutamanya bagi mereka yang mengalami keganasan rumahtangga, bersuamikan lelaki pemabuk dan penghisap dadah), sudah tentu anak-anak anda turut menderita jika anda teruskan perkahwinan tersebut. Oleh itu, dalam situasi begini, kebahagiaan dan kegembiraan anak-anak akan terzahir daripada kegembiraan dan kebahagiaan anda sendiri.

Mengimbas kembali nasihat tersebut, "Put your happiness before your kids' happiness. If you are happy. Of course your kids will be happy. But if you stay in the marriage just because of your kids, chances are, neither of you will be happy".

Saya harap nasihat yang paling bernas saya pernah terima ini dapat membantu lebih ramai lagi wanita yang tersepit dalam situasi yang serupa. Sebab saya tahu, tak semua wanita mempunyai bos dan sahabat seperti bos saya itu.

Percayalah, si kecil pasti akan bahagia jika anda bahagia


4. Usah Terburu-buru Cari Pengganti

Setelah melalui episod perpisahan atau perceraian, ramai yang berharap dapat segera mencari pengganti bagi membuktikan bahawa diri mereka masih ada nilai, masih laku serta masih ada yang mahu.  Tak kurang juga yang berharap pendekatan ini dapat membuatkan bekas pasangan atau keluarga mertua mereka menyesal atas perbuatan mereka yang tak menghargainya dahulu.

Nasihat saya, usah terburu-buru cari pengganti. Chillax sahaja. Anda tak ada kewajipan untuk membuktikan apa-apa kepada sesiapa pun. Nilai anda, anda sahaja yang tahu. Sematkan dalam fikiran anda bukan wanita sebarangan yang menerima sesiapa sahaja. Malah, dek sebab kegagalan rumahtangga sebelum inilah yang patut membuatkan anda lebih berhati-hati dan memilih dalam menilai mana-mana lelaki yang mendekati anda.  Tentu anda pun tak mahu terlepas dari mulut buaya masuk pula ke mulut harimau kan?

Apa salahnya memilih? Pergi pasar beli ikan pun kita pilih kan? Apatah lagi pasangan hidup?


5. Pekakkan Telinga Terhadap Tuduhan dan Tohmahan

Sudah menjadi lumrah, ibu tunggal, janda dan balu sering sekali dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan yang tidak enak untuk didengari. Kewujudan mata-mata, stalker di media sosial dan pakcik dan makcik bawang pasti dapat dikesan di mana-mana sahaja.

Nasihat saya? Abaikan sahaja mereka ini. Daripada sibuk dengarkan apa kritikan dan gosip yang mereka lemparkan, lebih baik kita fokus untuk memperbaiki diri sendiri. Lagipun bukannya anda minta duit dengan mereka pun untuk bayar sewa rumah, ansuran kereta, susu anak-anak ataupun mana-mana komitmen bukan? Lagi anda susah, lagi rancak mereka melempar batu, jadi, tak perlu pedulikan mereka ini. Anggap saja anda mengumpul pahala daripad perbuatan mereka itu.

Pekakkan sahaja telinga daripada gosip

Semoga nasihat dan pesanan ini berguna bagi anda semua dalam mengharungi dugaan ini. Yakinlah, semuanya akan baik-baik sahaja.

Ikhlas
Prettily Rare




Baca juga:

Batalkan Niat Dekati Ibu Tunggal Jikalau Kamu....
Kelayakan Tambahan Untuk Diterima Bekerja
Patut Ke Gunakan Kabel Untuk Dapat Kerja?
Pilih Bos Baik Atau Syarikat Yang Baik
Tips Tukar Kerja: Pertimbangkan Semua Faktor ini
Senarai 7 Hadiah Yang Paling Mengecewakan
8 Sebab Anda Tak Dipanggil Untuk Temuduga
Tips Pelbagaikan Sumber Pendapatan
Rahsia Semakin Berusia Semakin Cantik
Aplikasi Pantau Kesihatan Kewangan
10 Nasihat Kepada Wanita Berusia 30-an
Pentingnya Bahasa Cina Sebagai Bahasa Ketiga

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum, your personality is same like ni. Teruskan berkarya.

    Sy actually Google looking for how to stop using CC. Seronok plak baca sharing sis.

    Keep it up.Biiznillah

    ReplyDelete