Kalini saya nak kongsikan pengalaman saya ditahan wad di KPJ Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Kalau nak diceritakan sepanjang tiga abad hidup di dunia ini, alhamdulillah saya telah dikurniakan dengan kesihatan yang baik. Jarang-jarang sekali masuk wad.
Sepanjang tiga abad ni, cuma pernah ditahan di wad tiga kali kerana sakit. Tapi kalau atas faktor lain, semuanya lima kali yang mana 2 kali lagi adalah kerana bersalin.
Yang uniknya, kesemua pengalaman saya ditahan di wad sebelum ini adalah berdua. Sama ada kerana berbadan dua ataupun kerana sama-sama sakit bersama anak. Pertama sekali saya ditahan di wad adalah pada tahun 2012 sewaktu mengandungkan anak lelaki saya, Hariz. Waktu itu saya telah ditahan di wad kerana denggi dan demam panas dengan suhu yang terlalu tinggi.
Kali kedua ditahan di wad pada tahun 2017, sewaktu itu jatuh sakit dan dijangkiti Influenza B ketika menjaga anak sulung saya, Mia dan baru-baru ini pula, saya telah ditahan wad 2 kali dalam tempoh seminggu kerana dua penyakit yang berbeza. Kali ini, kedua-duanya saya hadapi sendiri dan saya bersyukur kerana alhmadulillah anak-anak saya sihat.
Tahun 2017, jaga Mia sakit. Sekali mak pulak yang jatuh sakit |
Okay jadi kisah saya ditahan di wad kali ini bermula apabila saya telah batuk-batuk teruk melebihi 2 minggu berturut-turut. Sedar tentang betapa besarnya tanggungjawab saya untuk kekal sihat kerana perlu membesarkan dan menjaga anak-anak saya seorang diri memandangkan saya seorang ibu tunggal yang juga yatim piatu, sudah tentulah saya sangat mengambil berat tentang kesihatan saya. Sepanjang 2 minggu tersebut, telah 3 kali saya berjumpa dengan doktor di klinik. Malangnya penyakit tidak surut dan sebaliknya semakin serius.
Yang hairannya, walaupun batuk-batuk teruk, tiada langsung sebarang kahak. Semuanya batuk kering sahaja. Itu membuatkan keadaan bertambah parah kerana tekak saya sering berasa kering. Ia tak gatal, namun setiap kali batuk, tekak semakin kering dah kadangkala membuatkan saya berasa sesak nafas.
Oleh kerana saya telah jenuh berjumpa 2 kali doktor di sekitar pejabat, saya telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan doktor kegemaran saya di Bangsar. Namun doktor tersebut menghadiri seminar perubatan dan tiada. Terpaksalah saya berjumpa dengan doktor lain. Namun keadaan masih tidak reda.
Dipendekkan cerita, pada 12 April saya berasa semakin tidak selesa kerana sering menghadapi kesukaran bernafas. Sempat lagi saya berseloroh dengan rakan-rakan sepejabat tentang niat saya untuk berjumpa dengan doktor pada hujung minggu tapi dikhuatiri tidak dapat dimasukkan ke wad sekiranya keadaan saya serius atas faktor polisi perubatan syarikat. Rakan-rakan sepejabat hanya berkata kalau sudah serius, jumpa sajalah doktor dan dahulukan bayaran dan buat saja tuntutan di kemudian hari.
Pada 13 haribulan, saya telah pergi ke Avisena untuk berjumpa dengan doktor. Khuatir dengan keadaan saya, doktor telah membuat imbasan Sinar X atau X-Ray untuk melihat keadaan paru-paru saya. Dia juga telah memberikan saya nebuliser untuk mengurangkan lelah saya. Kata doktor, paru-paru seperti tidak dapat buka sepenuhnya. Hasil imbasan X-Ray mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru. Tapi sedikit saja. Tidak begitu membimbangkan. Doktor telah memberikan antibiotik dan menetapkan saya untuk mengambil nebuliser setiap 4 jam dan berjumpa dengan doktor semula pada pukul 8 malam.
Dalam pada tu banyak drama sebab Mia ngan Hariz pun batuk-batuk juga |
Namun, setelah makan ubat doktor, saya berasa sangat lemah dan keesokan harinya, saya tidak berdaya untuk mendapatkan nebuliser setiap 4 jam seperti yang disarankan oleh doktor. Sebaliknya, saya terus berjumpa dengan dokor pada 8 malam dan memberitahunya tentang saranan doktor sebelum ini. Kali ini doktor tersebut memberikan nebuliser dan telah merujuk kes saya kepada pakar (Chest Physician). Memadangkan Avisena bukanlah panel syarikat tempat saya bekerja, saya perlu dirujuk ke Hospital Pakar KPJ Shah Alam. Saya memaklumkan perkara tersebut kepada bos.
Memandangkan Avisena cuma untuk perkhidmatan pesakit luar, tak dapatlah bermalam di sini. |
Isnin, 15 April. Saya telah membawa surat rujukan untuk berjumpa dengan pakar. Saya diminta untuk berurusan dengan HR dan pihak kaunter KPJ bagi tujuan mendapatkan Surat Jaminan (Guarantee Letter). Pihak kaunter kemudian merujuk kes saya kepada Pakar Pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor. Setelah membaca surat rujukan dan mengamati imbasan X-Ray saya, saya telah ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.
Dengan itu, bermulalah kehidupan berkampung di wad selama 5 hari yang mana saya telah menjalani pelbagai pemeriksaan seperti imbasan CT dan ujian darah untuk menentukan faktor yang menyebabkan saya batuk berpanjangan. Hasil diagnosis awalan menandakan saya menghidapi bronkitis. Namun apabila saya memberitahu doktor tentang betapa keringnya tekak saya setiap kali batuk sehinggakan saya tidak dapat bernafas dan bagaikan rasa tercekik. Doktor mengesyaki ada hubung kait dengan perut. Beliau telah merujuk kes saya kepada Pakar Telinga, Hidung dan Tekak.
Maka saya pun berjumpalah dengan Doktor Pakar ENT yang mana dia telah membuat pemeriksaan awalan dengan memasukkan sejenis alatan pada bahagian telinga, tekak dan hidung saya. Katanya hidung saya mempunyai lelehan berikutan rhinitis dan tekak saya didapati terlalu kering. Manakala telinga saya pula tiada masalah.
Namun beliau tidak dapat mengenal pasti apakah punca yang menyebabkan tekak saya begitu kering. Beliau mengesyaki ia berpunca daripada asid dari perut dan telah merujuk kes saya kepada pakar perut (gastroenterologist) pula.
Sementara itu, sepanjang saya mendapatkan rawatan yang berupa IV drip, nebuliser dan antibiotik, batuk saya masih berpanjangan. Malah lebih kering lagi tekak saya dibuatnya dan hal ini membuatkan saya sukar untuk bernafas. Pakar dada yang merawat saya bagaikan acuh tak acuh. Mungkin kerana dia fikir saya sengaja memanjangkan perkara. Setelah saya memaklumkan padanya pakar ENT mengesyaki hal ini disebabkan oleh acid reflux, dia pula mengiyakan saja hal tersebut dan memberitahu saya hal tersebut telah dijangkanya. Saya dapat rasakan dia sudah semakin tidak acuh kerana merasakan hal tersebut tiada kaitan dengan kepakarannya. Namun saya diamkan saja. Yalah, apa gunanya dimasukkan ke wad untuk rawatan tapi punca sebenar penyakit tidak dikenal pasti? Nanti kalau berulang kembali, tidakkah cuma sia-sia? Jadi walaupun doktor tersebut seperti mahu segera mengaturkan pengeluaran saya dari wad, saya diamkan saja kerana dia masih perlu menunggu pelepasan daripada pakar-pakar yang lain.
Pada masa yang sama, pakar perut yang memeriksa saya pula menyarankan saya untuk melakukan pemeriksaan endoscopy. Bagi proses ini pula, saya perlu berpuasa selama 12 jam dan akan ditidurkan sewaktu pemeriksaan tersebut dijalankan.
Dipendekkan cerita, keputusan endoscopy yang dilakukan mendapati saya menghidapi Gastroeshopagus Reflux Disease atau singkatannya GERD. Ia berlaku apabila asid dalam perut sering berbalik ke tibu yang menghubungkan esofagus dengan mulut anda. Hal tersebut telah menyebabkan tekak saya kering dan mudah batuk-batuk kerana sensitif terhadap asid yang dihasilkan. Nah, barulah masuk akal kenapa selama ini saya sering batuk kering.
Doktor telah memberikan beberapa saranan kepada saya untuk mengelakkan acid reflux daripada terus mengganggu kehidupan. Katanya, otot saluran esofagus yang terbuka itu tidak boleh tertutup. Jadi saya perlu makan dengan lebih kerap bagi mengelakkan asid naik ke bahagian kerongkong. Sedih pula bila dengar doktor berkata begitu. Lagi-lagi apabila saya baca banyak pantang larang bagi mereka yang menghidapi GERD.
Jumaat, 19 April merupakan hari saya menerima pemeriksaan endoscopy. Pada hari yang sama juga saya dibenarkan untuk pulang setelah mengetahui tentang keadaan kesihatan saya yang menghidapi GERD. Hairan juga saya dibuatnya, kenapa tidak tunggu sehari lagi untuk lihat bagaimana tindakbalas badan saya terhadap ubat yang dipreskripsi sebaik saja tahu tentang keputusan pemeriksaan. Namun pada masa yang sama, saya juga lega memandangkan ketiga-tiga doktor pakar telah memberikan pelepasan saya untuk pulang.
Doktor pakar yang menahan saya di wad iaitu Chest Physician KPJ membenarkan saya pulang dengan cuti sakit sehingga 22 April.
Oleh kerana rindukan anak-anak, saya yang masih lagi tidak sihat sangat tidak sabar untuk berjumpa mereka. Namun, sebelum itu saya cuci kereta yang telah lama tidak dicuci supaya anak-anak tidak sakit kerana kereta terlalu berhabuk dan kotor. Malam tersebut, saya tidur bersama-sama mereka namun keadaan saya semakin teruk.
Batuk saya bertambah serius. Saya juga merasakan seram sejuk dan lemah tubuh badan. Ia sangat menghairankan kerana sepanjang saya menetap di hospital selama 5 hari, saya tidak pernah demam. Hanya batuk teruk dan sukar untuk bernafas saja. Tetapi sekembalinya saya di rumah, tak sampai beberapa jam terus saya rasa longlai dan lemah.
Pagi esoknya, adik saya yang baru pulang dari China menghubungi saya. Saya minta dia bawa anak-anak berjalan-jalan kerana saya rasa terlalu lemah untuk menguruskan anak-anak. Badan saya mula menggigil seram sejuk. Kepala saya berat. Mujurlah adik saya bersetuju untuk membawa anak-anak berjalan-jalan. Jika tidak, entah-entah pengsan di rumah pun tiada yang tahu
Saya ambil ubat seperti yang disarankan oleh doktor. Namun badan saya semakin lemah. Pada pukul 3 petang, saya hampir tidak dapat sedarkan diri. Sebelum itu, sempat juga saya mengirimkan beberapa mesej kepada kawan dan adik memaklumkan kepada mereka saya ingin kembali ke hospital.
Selepas maghrib, saya dibawa oleh seorang rakan yan baik hati ke Hospital Pakar KPJ Shah Alam semula. Saya memberitahu mereka saya baru keluar dari wad dan kini berasa seram sejuk dan lemah.
Jururawat yang mengendalikan kes saya mengambil maklumat seperti berat badan, ketinggian dan suhu badan saya. Katanya saya demam panas 39.7 darjah selsius. Dia tanya sama ada saya larat untuk menunggu namun saya katakan saya rasa seperti hendak pitam. Jadi dia pun membawa saya untuk berehat di atas katil.
Mereka mengambil sampel dari hidung dan darah untuk membuat pemeriksaan lanjut. Kemudiannya, saya ditahan semula di wad. Atas sebab menghidapi Influenza A.
Makanya baru saja keluar 19 April 2019, saya dimasukkan semula ke wad di KPJ Shah Alam pada 20 April 2019. Malah atas sebab yang berbeza.
Kalau diikutkan hati, memang geram. Bagi saya, kalau doktor tidak tergesa-gesa untuk memberikan pelepasan untuk saya keluar wad walaupun saya belum sihat sepenuhnya, mungkin saya tak perlu melalui proses yang dramatik ini.
Yang lebih dramatik lagi, semua ubat-ubatan yang dipreskripsi semuanya saya bawa, tapi doktor sarankan untuk menghentikan pengambilan semua ubat-ubatan tersebut kerana disyaki dari mula lagi, memang saya telah dijangkiti Influenza A. Namun, sewaktu saya pertama kali dimasukkan ke wad, tak ada pun pemeriksaan berkenaan yang dilakukan.
Berkemungkinan juga saya telah dijangkiti penyakit tersebut sewaktu di hospital memandangkan anak-anak semuanya tidak menghidapi influenza. Menurut doktor, virus influenza memerlukan tempoh incubation selama 5 hari sebelum menyerang. Alhamdulillah, walaupun sempat tidur semalaman dengan anak-anak, mereka semua tidak dijangkiti H1N1.
Begitulah kisah pengalaman saya ditahan wad 2 kali dalam tempoh seminggu di Hospital Pakar KPJ Shah Alam.
Nak tahu sedikit sebanyak tentang Influenza A? Baca di bawah:
Flu (influenza) merupakan jangkitan hidung, tekak, dan paru-paru yang disebabkan oleh virus influenza. Virus-virus influenza mudah berjangkit. Kanak-kanak, wanita hamil, warga emas, dan mereka yang mengalami penyakit kronik boleh mendapat jangkitan teruk dan ada kalanya membawa maut. Tidak seperti di negara-negara beriklim sederhana, di negara tropika seperti Malaysia, musim puncak bagi influenza berlaku dari Okt-Jan dan Apr-Jun dengan jangkitan sepanjang tahun.
* Diceduk dan disunting semula daripada:
https://mypositiveparenting.org/ms/2016/03/24/panduan-mengenai-influenza-untuk-ibu-bapa/
Apakah simptom-simptom influenza?
Kebanyakan mereka yang menghidapi influenza berasa letih dan mengalami demam, sakit kepala, batuk tidak berkahak, berhingus atau hidung tersumbat, cirit-birit/muntah-muntah, dan sakit-sakit otot. Batuk boleh berlarutan sehingga dua minggu atau lebih.
Apakah perbezaan di antara influenza & selsema biasa?
Selsema biasa lazimnya menyebabkan hidung berhingus, bersin dan hidung tersumbat. Ia adalah jangkitan virus pada saluran pernafasan atas yang lazimnya tidak berbahaya dan berlaku pada bila-bila masa sepanjang tahun.
Influenza juga mempunyai simptom yang sama dan menjejaskan saluran pernafasan atas, tetapi ia terjadi dengan cepat dan lebih teruk. Virus yang menyebabkan influenza adalah berbeza daripada virus yang menyebabkan selsema, influenza juga berlaku mengikut musim.
Bagaimanakah ia merebak?
Mereka yang dijangkiti boleh memindahkan virus influenza apabila batuk atau bersin, dan melalui hidung berhingus yang mengandungi titisan virus influenza. Orang lain boleh dijangkiti influenza apabila menghidu titisan tersebut atau titisan termasuk ke dalam hidung atau mulut mereka selepas tersentuh permukaan yang tercemar.
Sekiranya saya/ anak saya menghidapi influenza, sampai bilakah beliau berpotensi menjangkiti orang lain?
Selepas 24 jam dijangkiti virus influenza dan lima hari selepas bermulanya simptom. Kanak-kanak yang lemah sistem imun boleh menjangkiti orang lain selama hampir dua minggu. Kanak-kanak yang dijangkiti boleh menyebar penyakit sebelum mereka sendiri berasa sebarang simptom.
Bagaimana saya boleh melindungi & mencegah saya atau anak saya daripada influenza?
Cara terbaik untuk melindungi anda/ anak anda terhadap influenza adalah dengan memberi mereka vaksinasi apabila mencapai umur yang sepatutnya (≥6 bulan). Kanak-kanak 6 bulan-3 tahun memerlukan 2 dos dalam tahun pertama mereka diberi vaksinasi. Pastikan anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Adakah vaksin tersebut juga melindungi saya/ anak saya daripada selsema biasa?
Tidak, vaksin-vaksin hanya melindungi anak anda terhadap virus atau penyakit yang spesifik. Virus yang menyebabkan influenza dan selsema adalah berlainan jenis.
Apakah pilihan perubatan lain yang terdapat selain daripada vaksinasi?
Ubat antiviral boleh merawat influenza dalam kalangan kanak-kanak terutama mereka yang sakit teruk atau masuk hospital. Ia boleh memberi mereka kelegaan, mempercepatkan proses sembuh dan mencegah komplikasi influenza yang serius. Namun begitu, ubat antiviral memerlukan preskripsi doktor.
Jangan sekali-kali memberi aspirin atau ubat yang mengandungi aspirin kepada kanak-kanak atau remaja yang menghidapi influenza. Antibiotik juga tidak membantu kerana ia hanya berkesan untuk merawat jangkitan bakteria.Apa yang saya perlu lakukan sekiranya anak saya sakit?
Kebanyakan kanak-kanak yang meghidapi influenza akan sakit selama sekitar satu minggu, sejurus itu mereka akan sembuh. Walaupun begitu, dapatkan juga nasihat doktor dan pastikan anak anda berehat secukupnya dan banyak minum air kosong. Ubat antiviral perlu diberi pada awal jangkitan.
Adakah terdapat cara lain untuk mencegah influenza?
Cara terbaik untuk anda/ anak anda ialah vaksinasi. Walau bagaimanapun, beberapa tabiat dan amalan kebersihan juga boleh membantu:
Bilakah patut saya bimbang?
Hubungi doktor dengan segera sekiranya anda/ anak anda:
Bolehkah saya/ anak saya pergi bekerja/ ke sekolah?
Tidak, elak daripada menyebarkan virus, lebih baik mereka duduk di rumah dan berehat. Pastikan anda/ anak anda duduk di rumah sehingga suhu badannya normal melebihi 24 jam. Suhu badan sihat ialah 37 – 37.2°C. Demam ditakrifkan sebagai suhu badan 37.8 °C atau lebih.
Baca juga:
- Jauhkan anda/ anak anda dari kanak-kanak atau orang lain yang sakit
- Cuci tangan menggunakan sabun dengan kerap
- Jauhkan tangan dari muka
- Tutup mulut dan hidung apabila batuk dan bersin untuk melindungi orang lain
- Makan secara sihat & galakkan anak anda untuk lebih aktif secara fizikal.
Bilakah patut saya bimbang?
Hubungi doktor dengan segera sekiranya anda/ anak anda:
- demam panas yang berlarutan
- sukar bernafas atau nafas pendek
- kulit bertukar menjadi biru
- sukar minum air
- kelihatan keliru atau mengalami sawan
- mengalami simptom yang berulang
- mempunyai masalah perubatan (asma, talasemia, penyakit yang dirawat menggunakan steroid, dll)
Bolehkah saya/ anak saya pergi bekerja/ ke sekolah?
Tidak, elak daripada menyebarkan virus, lebih baik mereka duduk di rumah dan berehat. Pastikan anda/ anak anda duduk di rumah sehingga suhu badannya normal melebihi 24 jam. Suhu badan sihat ialah 37 – 37.2°C. Demam ditakrifkan sebagai suhu badan 37.8 °C atau lebih.
Baca juga:
Bahaya batuk ni...Marsha pun masa preggy ritu batuk lama...susah hati
ReplyDeleteLast month akak kena batuk macam ni la sampai 2 kali..demam 2 kali..kesan2 batuk masih ada sampai sekarang..sekali menyerang gatal tekak x terkata,akak pernah kena H1N1 sampai koma sebulan..bahaya H1N1 ni..get well soon ye..jaga kesihatan..kita ibu tunggal kena kuat demi anak2 kita
ReplyDelete