Friday, 13 December 2019

Tanda-tanda Si Dia Mungkin Bukan Calon Suami Yang Sesuai


Salam semua,

Tahukah anda ramai wanita yang telah bercerai atau tidak bahagia dalam perkahwinan mendapati bahawa sebelum perkahwinan lagi mereka telah mengesan tanda-tanda bahawa perkahwinan mereka mungkin tak dapat bertahan lama.

Namun tanda-tanda tersebut telah diabaikan begitu sahaja atas faktor cinta, faktor takut malu, desakan keluarga, tarikh perkahwinan dan persiapan berkahwin telah siap dan sebagainya.

Menurut perkongsian juga, semakin hampir tarikh perkahwinan, semakin jelas tanda-tandanya namun seringkali perkahwinan tetap juga diteruskan atas faktor semua kelengkapan telahpun siap tersedia. Kalau diberikan peluang, kebanyakan daripada mereka juga mengakui mereka takkan mengulangi kesilapan yang sama.

Nah! Kami sudah tidak ada peluang. Tetapi mungkin masih ada lagi. Lekas semak jika si dia ada tanda-tanda bukan calon suami yang sesuai:

1. Si Dia/Keluarganya Tidak Pandai Mengurus Kewangan
planning

Okay, mungkin anda rasa sungguh materialistik jika mengungkit tentang kewangan. Tapi sebenarnya inilah yang jarang kita titikberatkan dan terlepas pandang. Ingat! Pengurusan kewangan merupakan salah satu kunci kebahagiaan. Jadi jika si dia atau keluarganya tidak pandai mengurus kewangan. Mungkin anda juga akan terpalit. Jangan lupa, perkahwinan bukan semata-mata penyatuan dua orang insan. Sebaliknya ia juga penyatuan dua buah keluarga yang mana anda juga perlu menerima baik dan buruk keluarga pasangan.

Antara ciri-ciri tidak pandai mengurus kewangan ialah gemar berhutang, boros berbelanja, berbelanja di luar kemampuan, sukar untuk menjelaskan komitmen hutang, tidak mempunyai simpanan, tidak pandai menyusun kewangan, sering bertukar kerja, tidak mempunyai pendapatan yang tetap, mempunyai senarai hitam CTOS/CCRIS, hampir muflis/telah diisytihar muflis serta mempunyai prinsip biar papa tapi bergaya.

Salah satu tanda jelas yang anda boleh nampak ialah si dia atau keluarga si dia meminta anda untuk membuat pinjaman atau menjadi penjamin mereka untuk memulakan perniagaan, menyumbang dana perniagaan, pembelian kereta baharu, merealisasikan perkahwinan idaman atau bagi tujuan bergaya mahupun menunjuk-nunjuk. Awas ya! Ini sebenarnya sudah tergolong tanda-tanda yang kronik.

Jadi kalau ada tanda-tanda sebegini, jangan lupa pertimbangkan semula sama ada anda mahu meneruskan pernikahah antau tidak. Mana taknya? Jangan pula selepas berkahwin mahupun sehingga bercerai sekalipun, anda tetap perlu dihantui beban hutang dek kerana mereka ya! Tak berbaloi tu.


2. Si Dia/Keluarganya Mempunyai Rekod Jenayah/Akhlak Yang Buruk

Dinikahi seseorang itu kerana empat perkara, kalau tadi kita dah bincangkan hartanya, sekarang giliran keturunannya pula. Ingat dan sematkanlah dalam fikiran. Kita bukan hanya berkahwin dengan dia sahaja. Tetapi keluarganya. Ia datang dalam pakej. Jangan pernah ceraikan/asingkan pakej tersebut melainkan anda bernikah dengan anak yatim piatu yang semestinya sebatang kara.

Sebenarnya kalau boleh atau mampu, sebelum berkahwin selidik dan siasatlah latar belakang dia dan ahli keluarganya. Tak boleh atau tak mampu pun, ikhtiarkanlah sesuatu. Lagi bagus kalau buat peraturan nak masuk meminang seolah-olah nak minta kerja. Alangkan pekerja yang boleh tukar tu pun majikan buat saringan macam-macam, apatah lagi pasangan hidup. Bukankah begitu?

Jadi ciri-ciri mempunyai rekod jenayah/akhlak yang buruk yang dimaksudkan di sini antaranya termasuk si dia/keluarganya mempunyai rekod jenayah menipu, memukul, merompak, berjudi, minum arak, hisap dadah, kaki perempuan dan sebagainya.

Biasanya anda boleh amati jika ada yang tidak mempunyai pekerjaan dan sering meminta wang/bantuan daripada keluarga, sentiasa melepak di rumah, tidak terurus dan sebagainya.

Kalau benar si dia/keluarganya mempunyai rekod jenayah atau tabiat buruk seperti yang dikatakan, sudah tentula ia akan memberi kesan kepada kemaslahatan rumahtangga anda. Mana taknya, setelah membina keluarga nanti, anda dan suami tentulah sibuk dengan masalah keluarga kecil sendiri. Tetapi pada masa yang sama, kena fikirkan masalah keluarganya pula. Inilah biasanya yang jadi punca-punca pergaduhan. Almaklumlah ibu bapa, adik-beradik bukannya boleh buang begitu saja. Jadi terpaksalah anda memendam rasa dan makan hati terus-menerus. Semua ini boleh menjadi barah dalam perkahwinan.


3. Si Dia/Keluarganya Culas Tunaikan Tanggungjawab/Tuntutan Agama

Kalau cari suami, siapa pula yang mahukan suami yang tidak bertanggungjawab? Betul tak? Tanggungjawab di sini bukan sahaja dari segi duniawi tetapi juga dari segi tuntutan agama. Yalah, kita perempuan selayaknya dibimbing dan dilindungi lelaki. Kalau dah kahwin, tapi kita pula yang kena galas tanggungjawab mencari rezeki dan sebagainya, akhirnya kita akan menjadi bengis. Wanita selayaknya disayangi. Bukannya dikerah untuk menggalas tanggungjawab berat pada bahu mereka. Lagipun, apabila nafkah kita tidak dipenuhi, mulalah sedikit demi sedikit rasa hormat akan hilang terhadap suami. Begitu juga jika lelaki yang culas menunaikan tuntutan agama. Bagaimana mereka ini mahu menjadi pembimbing kita?

Ya, memanglah ekonomi sekarang memaksa suami dan isteri sama-sama mencari rezeki. Tapi itu bukan alasan bagi para suami untuk mengabaikan nafkah mereka. Ramai suami yang didapati menggunakan alasan isterinya berduit dan berkerjaya untuk tidak memberikan nafkah. Ini sudah salah sama sekali.

Satu lagi, janganlah cari suami yang hanya mengharapkan isteri mampu bersusah-payah dengannya. Biasanya lelaki dengan mentaliti macam ni tidak berwawasan dan memang cenderung melepaskan tanggungjawabnya. Ingat, lelaki sejati seharusnya berfikiran bahawa dia takkan sesekali susahkan isterinya walau sesusah mana pun hidup.

Kriteria ini saya pernah saksikan sendiri pada seorang jiran yang hanya bekerja sebagai kerani namun isterinya tidak perlu bekerja dan tidak pernah merasakan hidup mereka sempit. Kenapa? Kerana suaminya sanggup melakukan banyak kerja sampingan lain hanya untuk mencukupkan keperluan mereka sekeluarga. Janjinya, dia tak mahu isterinya menyesal tidak mendengar cakap ibunya supaya tidak berkahwin dengannya. Nah! Inilah lelaki sejati. Percayalah. Jika suami anda begini, susah mana pun anda sanggup mengharungi hidup dengannya.

4.Si Dia/Keluarganya Baran dan Mudah Naik Tangan

Okay, pegang kata-kata saya ni. Kalau si dia anda atau keluarganya jenis panas baran dan mudah naik tangan, silalah jauhkan diri daripada mereka. Carilah yang lain. Takkan anda bahagia dengan orang yang baran dan mudah naik tangan. Kenapa libatkan keluarga? Kerana kalau bapanya pendera, anak-anak pun cenderung untuk mempunyai sikap yang sama.

Terdapat kenyataan yang mengatakan keganasan rumahtangga hanya ada kosong kali atau berkali-kali. Maksudnya, sekali si dia naik tangan terhadap anda, ia takkan pernah berhenti. Tentu anda tak mahu jadi salah satu statistik tragedi mati dipukul dalam kes keganasan rumahtangga. Kalau sewaktu bercinta lagi pun dah mula baran dan mudah naik tangan. Bayangkan apa akan terjadi apabila anda telah menjadi isterinya yang sah? Lagilah pelbagai alasan yang boleh diciptakannya untuk 'mengajar' kamu bukan?

5.Si Dia Kuat Cemburu/Terlalu Mengongkong
Biasanya kuat cemburu dan terlalu mengongkong ni bersahabat baik. Kalau si dia tu kuat cemburu, mesti dia akan kongkong pasangannya supaya dia dapat wujudkan perasaan selamat pada diri sendiri. Akibatnya, mestilah anda rasa sukar untuk bernafas dan tiada kebebasan. Nak buat apa pun serba tak kena dan perlu dapatkan izinnya. Malah ada yang disuruh berhenti kerja apabila sudah berkahwin. Kalau anda bukan jenis yang boleh tahan dengan perangai begini, lebih baik anda fikir semula adakah benar ini jalan yang anda mahukan.

6.Si Dia Kuat Berlagak/Perasan Bagus

Biasanya kalau lelaki kuat berlagak dan perasan bagus ni, dia rasa dialah orang yang terhebat di alam semesta. Orang lain semuanya tak setanding dia. Jadi sebagai isteri, anda perlu rasa bertuah dan bersyukur dapat pasangan macam dia. Bila berfikiran begini, dia kurang menghargai pasangan kerana dia rasa dialah yang patut dilayan persis raja dan dihargai bak permata. Pertimbangkanlah semula jika ini bukan perkahwinan yang anda mahukan.

7. Si Dia Kedekut/Haji Bakhil/Berkira
Sesakit-sakit ada suami yang berpendapatan sikit, sakit lagi kalau ada lelaki yang banyak duit tapi kedekut, haji bakhil, tahi hidung masin dan berkira. Nak minta hak nafkah sendiri pun macam mengemis saja. Apabila terlalu kerap perlu mengemis hak sendiri, akhirnya anda akan rasa seolah-olah hilang harga diri dan tidak dihargai pula.

8. Si Dia Anak Emak/Tiada Pendirian Sendiri
Ya, sayang mak tu perlu. Tapi kalau dah mengikut dan menurut sangat kemahuan mak sampai tak ada pendirian sendiri, tentu lama-kelamaan anda akan makan hati. Bagaikan bermadu dengan emak suami pula nanti. Tak payahlah suruh dia pilih antara mak atau anda. Yang pastinya, tentulah anda yang akan kalah.

Okay, sekian senarai buat hari ini bagi tujuan. Ada apa-apa yang korang nak tambah? Boleh tulis di ruangan komen ya!

Da~~~













1 comment:

  1. waalaikumussalam. tapi tu lah kan, lepas kahwin baru lah semua perangai nampak. hehe

    ReplyDelete