Friday, 13 December 2019

Tanda-tanda Si Dia Mungkin Bukan Calon Suami Yang Sesuai

December 13, 2019 1
Tanda-tanda Si Dia Mungkin Bukan Calon Suami Yang Sesuai

Salam semua,

Tahukah anda ramai wanita yang telah bercerai atau tidak bahagia dalam perkahwinan mendapati bahawa sebelum perkahwinan lagi mereka telah mengesan tanda-tanda bahawa perkahwinan mereka mungkin tak dapat bertahan lama.

Namun tanda-tanda tersebut telah diabaikan begitu sahaja atas faktor cinta, faktor takut malu, desakan keluarga, tarikh perkahwinan dan persiapan berkahwin telah siap dan sebagainya.

Menurut perkongsian juga, semakin hampir tarikh perkahwinan, semakin jelas tanda-tandanya namun seringkali perkahwinan tetap juga diteruskan atas faktor semua kelengkapan telahpun siap tersedia. Kalau diberikan peluang, kebanyakan daripada mereka juga mengakui mereka takkan mengulangi kesilapan yang sama.

Nah! Kami sudah tidak ada peluang. Tetapi mungkin masih ada lagi. Lekas semak jika si dia ada tanda-tanda bukan calon suami yang sesuai:

1. Si Dia/Keluarganya Tidak Pandai Mengurus Kewangan
planning

Okay, mungkin anda rasa sungguh materialistik jika mengungkit tentang kewangan. Tapi sebenarnya inilah yang jarang kita titikberatkan dan terlepas pandang. Ingat! Pengurusan kewangan merupakan salah satu kunci kebahagiaan. Jadi jika si dia atau keluarganya tidak pandai mengurus kewangan. Mungkin anda juga akan terpalit. Jangan lupa, perkahwinan bukan semata-mata penyatuan dua orang insan. Sebaliknya ia juga penyatuan dua buah keluarga yang mana anda juga perlu menerima baik dan buruk keluarga pasangan.

Antara ciri-ciri tidak pandai mengurus kewangan ialah gemar berhutang, boros berbelanja, berbelanja di luar kemampuan, sukar untuk menjelaskan komitmen hutang, tidak mempunyai simpanan, tidak pandai menyusun kewangan, sering bertukar kerja, tidak mempunyai pendapatan yang tetap, mempunyai senarai hitam CTOS/CCRIS, hampir muflis/telah diisytihar muflis serta mempunyai prinsip biar papa tapi bergaya.

Salah satu tanda jelas yang anda boleh nampak ialah si dia atau keluarga si dia meminta anda untuk membuat pinjaman atau menjadi penjamin mereka untuk memulakan perniagaan, menyumbang dana perniagaan, pembelian kereta baharu, merealisasikan perkahwinan idaman atau bagi tujuan bergaya mahupun menunjuk-nunjuk. Awas ya! Ini sebenarnya sudah tergolong tanda-tanda yang kronik.

Jadi kalau ada tanda-tanda sebegini, jangan lupa pertimbangkan semula sama ada anda mahu meneruskan pernikahah antau tidak. Mana taknya? Jangan pula selepas berkahwin mahupun sehingga bercerai sekalipun, anda tetap perlu dihantui beban hutang dek kerana mereka ya! Tak berbaloi tu.


2. Si Dia/Keluarganya Mempunyai Rekod Jenayah/Akhlak Yang Buruk

Dinikahi seseorang itu kerana empat perkara, kalau tadi kita dah bincangkan hartanya, sekarang giliran keturunannya pula. Ingat dan sematkanlah dalam fikiran. Kita bukan hanya berkahwin dengan dia sahaja. Tetapi keluarganya. Ia datang dalam pakej. Jangan pernah ceraikan/asingkan pakej tersebut melainkan anda bernikah dengan anak yatim piatu yang semestinya sebatang kara.

Sebenarnya kalau boleh atau mampu, sebelum berkahwin selidik dan siasatlah latar belakang dia dan ahli keluarganya. Tak boleh atau tak mampu pun, ikhtiarkanlah sesuatu. Lagi bagus kalau buat peraturan nak masuk meminang seolah-olah nak minta kerja. Alangkan pekerja yang boleh tukar tu pun majikan buat saringan macam-macam, apatah lagi pasangan hidup. Bukankah begitu?

Jadi ciri-ciri mempunyai rekod jenayah/akhlak yang buruk yang dimaksudkan di sini antaranya termasuk si dia/keluarganya mempunyai rekod jenayah menipu, memukul, merompak, berjudi, minum arak, hisap dadah, kaki perempuan dan sebagainya.

Biasanya anda boleh amati jika ada yang tidak mempunyai pekerjaan dan sering meminta wang/bantuan daripada keluarga, sentiasa melepak di rumah, tidak terurus dan sebagainya.

Kalau benar si dia/keluarganya mempunyai rekod jenayah atau tabiat buruk seperti yang dikatakan, sudah tentula ia akan memberi kesan kepada kemaslahatan rumahtangga anda. Mana taknya, setelah membina keluarga nanti, anda dan suami tentulah sibuk dengan masalah keluarga kecil sendiri. Tetapi pada masa yang sama, kena fikirkan masalah keluarganya pula. Inilah biasanya yang jadi punca-punca pergaduhan. Almaklumlah ibu bapa, adik-beradik bukannya boleh buang begitu saja. Jadi terpaksalah anda memendam rasa dan makan hati terus-menerus. Semua ini boleh menjadi barah dalam perkahwinan.


3. Si Dia/Keluarganya Culas Tunaikan Tanggungjawab/Tuntutan Agama

Kalau cari suami, siapa pula yang mahukan suami yang tidak bertanggungjawab? Betul tak? Tanggungjawab di sini bukan sahaja dari segi duniawi tetapi juga dari segi tuntutan agama. Yalah, kita perempuan selayaknya dibimbing dan dilindungi lelaki. Kalau dah kahwin, tapi kita pula yang kena galas tanggungjawab mencari rezeki dan sebagainya, akhirnya kita akan menjadi bengis. Wanita selayaknya disayangi. Bukannya dikerah untuk menggalas tanggungjawab berat pada bahu mereka. Lagipun, apabila nafkah kita tidak dipenuhi, mulalah sedikit demi sedikit rasa hormat akan hilang terhadap suami. Begitu juga jika lelaki yang culas menunaikan tuntutan agama. Bagaimana mereka ini mahu menjadi pembimbing kita?

Ya, memanglah ekonomi sekarang memaksa suami dan isteri sama-sama mencari rezeki. Tapi itu bukan alasan bagi para suami untuk mengabaikan nafkah mereka. Ramai suami yang didapati menggunakan alasan isterinya berduit dan berkerjaya untuk tidak memberikan nafkah. Ini sudah salah sama sekali.

Satu lagi, janganlah cari suami yang hanya mengharapkan isteri mampu bersusah-payah dengannya. Biasanya lelaki dengan mentaliti macam ni tidak berwawasan dan memang cenderung melepaskan tanggungjawabnya. Ingat, lelaki sejati seharusnya berfikiran bahawa dia takkan sesekali susahkan isterinya walau sesusah mana pun hidup.

Kriteria ini saya pernah saksikan sendiri pada seorang jiran yang hanya bekerja sebagai kerani namun isterinya tidak perlu bekerja dan tidak pernah merasakan hidup mereka sempit. Kenapa? Kerana suaminya sanggup melakukan banyak kerja sampingan lain hanya untuk mencukupkan keperluan mereka sekeluarga. Janjinya, dia tak mahu isterinya menyesal tidak mendengar cakap ibunya supaya tidak berkahwin dengannya. Nah! Inilah lelaki sejati. Percayalah. Jika suami anda begini, susah mana pun anda sanggup mengharungi hidup dengannya.

4.Si Dia/Keluarganya Baran dan Mudah Naik Tangan

Okay, pegang kata-kata saya ni. Kalau si dia anda atau keluarganya jenis panas baran dan mudah naik tangan, silalah jauhkan diri daripada mereka. Carilah yang lain. Takkan anda bahagia dengan orang yang baran dan mudah naik tangan. Kenapa libatkan keluarga? Kerana kalau bapanya pendera, anak-anak pun cenderung untuk mempunyai sikap yang sama.

Terdapat kenyataan yang mengatakan keganasan rumahtangga hanya ada kosong kali atau berkali-kali. Maksudnya, sekali si dia naik tangan terhadap anda, ia takkan pernah berhenti. Tentu anda tak mahu jadi salah satu statistik tragedi mati dipukul dalam kes keganasan rumahtangga. Kalau sewaktu bercinta lagi pun dah mula baran dan mudah naik tangan. Bayangkan apa akan terjadi apabila anda telah menjadi isterinya yang sah? Lagilah pelbagai alasan yang boleh diciptakannya untuk 'mengajar' kamu bukan?

5.Si Dia Kuat Cemburu/Terlalu Mengongkong
Biasanya kuat cemburu dan terlalu mengongkong ni bersahabat baik. Kalau si dia tu kuat cemburu, mesti dia akan kongkong pasangannya supaya dia dapat wujudkan perasaan selamat pada diri sendiri. Akibatnya, mestilah anda rasa sukar untuk bernafas dan tiada kebebasan. Nak buat apa pun serba tak kena dan perlu dapatkan izinnya. Malah ada yang disuruh berhenti kerja apabila sudah berkahwin. Kalau anda bukan jenis yang boleh tahan dengan perangai begini, lebih baik anda fikir semula adakah benar ini jalan yang anda mahukan.

6.Si Dia Kuat Berlagak/Perasan Bagus

Biasanya kalau lelaki kuat berlagak dan perasan bagus ni, dia rasa dialah orang yang terhebat di alam semesta. Orang lain semuanya tak setanding dia. Jadi sebagai isteri, anda perlu rasa bertuah dan bersyukur dapat pasangan macam dia. Bila berfikiran begini, dia kurang menghargai pasangan kerana dia rasa dialah yang patut dilayan persis raja dan dihargai bak permata. Pertimbangkanlah semula jika ini bukan perkahwinan yang anda mahukan.

7. Si Dia Kedekut/Haji Bakhil/Berkira
Sesakit-sakit ada suami yang berpendapatan sikit, sakit lagi kalau ada lelaki yang banyak duit tapi kedekut, haji bakhil, tahi hidung masin dan berkira. Nak minta hak nafkah sendiri pun macam mengemis saja. Apabila terlalu kerap perlu mengemis hak sendiri, akhirnya anda akan rasa seolah-olah hilang harga diri dan tidak dihargai pula.

8. Si Dia Anak Emak/Tiada Pendirian Sendiri
Ya, sayang mak tu perlu. Tapi kalau dah mengikut dan menurut sangat kemahuan mak sampai tak ada pendirian sendiri, tentu lama-kelamaan anda akan makan hati. Bagaikan bermadu dengan emak suami pula nanti. Tak payahlah suruh dia pilih antara mak atau anda. Yang pastinya, tentulah anda yang akan kalah.

Okay, sekian senarai buat hari ini bagi tujuan. Ada apa-apa yang korang nak tambah? Boleh tulis di ruangan komen ya!

Da~~~













Tuesday, 10 December 2019

Review: Restoran Hot Pot Mee Tarik No. 1, Jalan Raja Chulan, KL

December 10, 2019 4
Review: Restoran Hot Pot Mee Tarik No. 1, Jalan Raja Chulan, KL

Hai semua,

Harini nak tulis ulasan fasal tempat kegemaran baharu kitorang makan tengah hari iaitu di Restoran Hot Pot Mee Tarik No 1, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Hot Pot Mee Tarik No. 1 ni terletak di Wisma MPL, iaiatu seberang The Weld dan bersebelahan AmBank, Jalan Raja Chulan.

Kisahnya hari-hari kita lalu nampak Hot Pot Mee Tarik No. 1 waktu balik kerja tau. Satu hari tu balik kerja lambat, hari hujan dan perut lapar, nampak pula Hot Pot Mee Tarik No. 1 ni dengan lampu neonnya yang berkelip, terus teringat makanan Cina yang pernah kita makan kat Chengdu satu ketika dahulu. Makanan muslim Cina. Memang sedap dan kebanyakannya berasaskan kambing dan lembu.



Esoknya, terus ajak geng makan untuk makan kat situ. Namun hari pertama tu hujan. Terus terbatal niat. Mujurlah lusanya cuaca cerah. Kitorang pun dengan terujanya pergi kat Hot Pot Mee Tarik No. 1 ni. Ingatkan tak ramai orang, sekali kena beratur da... Rupa-rupanya Hot Pot Mee Tarik No. 1 ni memang menjadi pilihan warga pejabat untuk makan tengah hari kerana harganya yang berpatutan. Ingatkan restoran macam ni, mahallah harganya. Bila tengok menu, eh, okeylah harganya. Lepas rasa sedap, terus disenaraikan sebagai salah satu port untuk makan tengah hari.

Restoran mi tarik dari luar. Rasanya ni masa baru-baru buka. Sekarang lagi cantik.

Makanya pelbagai menulah yang kitorang telah cuba setakat ini. Oleh kerana menunya mungkin diterjemah secara terus, maka kekadang menunya berbunyi agak pelik. Tapi kita maafkan sajalah ya?

Ramen Daging Sup Dengan Telur, RM11

Ramen Keping dengan Daging, RM13
Ramen Bayam dengan Ayam, RM10
Ramen Ayam Goreng dengan Kulat, RM10

Kalau korang nak tahu, sebenarnya ramen (la mian) atau maksudnya mi tarik ni sebenarnya berasal dari Cina. Tetapi ia juga sangat popular di Jepun dan Korea. Satu rumpun la katakan.

Ketiga-tiga ramen ni berbeza dari segi minya yang mama mi pertama dan keempat dimasak menggunakan mi tepung dan berbentuk seperti tali (tarik), mi tepung yang dihiris menggunakan pisau (bentuknya pendek dan lebar) dan yang ketiga ramen sayur-sayuran.

Dalam keempat-empat hidangan ramen ni, Ramen Bayam dengan Ayam paling menepati citarasa kita. Kalau korang penggemar mi, memang tak dinafikan mi yang dihasilkan memang sedap digigit dan kenyal sebab ia dihasilkan menggunakan tangan dan bukannya mesin. Cuma kuahnya saja tak menepati citarasa kita.

Selain mi, ada juga hidangan berupa nasi. Kitorang cuma sempat cuba dua jenis nasi goreng yang mana kedua-duanya tak berapa menepati citarasa kerana terlalu tawar dan kosong. Nampaknya memang bukan specialty dioranglah kiranya. Presentation pon menghampakan.

Nasi Goreng Ayam

Nasi Goreng Telur, RM6

Yang wajib korang cuba kat sini ialah lauk-pauknya. Macam yang saya cakap tadi, makanan Cina Muslim biasanya berasaskan daging dan kambing. Jadi menu berikut memang wajib korang cuba kerana rasanya pun memang umph!!

Goreng daging kambing hidang dengan keping kecil, RM28
Nama dia memang kerlaslah! Tapi mujurlah rasanya pun sekelas namanya. Yang ni memang kalau makan tak henti-henti. Tah rempah apa yang dia pakai, memang kena dengan daging kambing. Sambil-sambil menaip ni pun teringat-ingat dan telan air liur memikirkannya.


BBQ Satay Kambing, RM3 per cucuk
BBQ Satay Kambing ni pon sumpah sedap. Rempah yang digunakan memang menusuk kalbu. Cumanya untuk hidangan ni, korang kena beli sekurang-kurangnya 3 cucuk satay. Kira sebenarnya RM9 untuk 3 cucuk kambinglah satay ni. Yang ni hidangan wajib kitorang order setiap kali datang.

Selain satay kambing ni ada juga BBQ sotong. Yerlah, asyik makan daging je. So kitorang pon rasa juga BBQ sotong dia. Rempahnya sama je. Sedap cuma saiz hidangan untuk sotong ni terlalu menyedihkan sebab sikit nauuuu...

BBQ Sotong, RM3 per cucuk
Satu lagi masakan istimewa orang Cina ialah ladu. Ladu atau dumpling di sini pun boleh tahan enak rasanya. Salah seorang teman sepejabat saya memang hantu betul dengan ladu kat sini. Bagi saya rasanya boleh tahan juga.

Dumplings (kering), RM10
Selain itu, hidangan sayur-sayuran kat Restoran Hot Pot Mee Tarik No. 1 ni juga sangat-sangat disyorkan sebab sayur-sayuran yang digunakannya semua segar-segar belaka. Sebagai peminat sayur-sayuran, saya akui yang sayurnya juga digoreng dengan baik yang mana sayur tidak digoreng terlalu lama sehingga layu. Kira sedang-sedang masak je. Segar, masak tetapi sedang rangup.

Antara menu sayur-sayuran yang pernah kitorang pesan:

Bende Goreng Dengan Cendawan

Goreng Kubis Cincang, RM15
Dah kenyang? Mesti rasa nak makan manisan pulak kan? Kat sini macam tak ada manisan atau pemanis mulut sangat. Pilih punya pilih, ada sesuatu yang sangat menarik perhatian kitorang. Tara! Inilah manisan pilihan kitorang. Walaupun wajah dia tak berapa menawan dan menggoda. Rasanya memang unik dan boleh tahan sedap. Kira ketagih jugalah makan.

Dessert jagung dan sayur-sayuran misteri
Kalau kornag perhatikan, adunan maskaan ini terdiri daripada jagung, lobak, sayur-sayuran dan macam tepung misteri. Hahaha...Sebab sambil kunyah kitorang pon puas memikirkan, dia adun pakai apa. Pastu dia ada tabur sedikit gula kat atas dessert yang telah siap digoreng ni.

Rasanya susah nak terangkan macam mana rasa dia. Macam jemput-jemput sayur-sayuran nipis pun ya. Tapi rasanya manis-manis manja gitu.

Last but not least, tak sahlah kalau restoran Cina tak ada air teh yang pelbagai kan? Meh tengok air apa yang kitorang pernah pesan waktu pertama kali berkunjung ke sini:

Teh 8 Harta Karun
Teh Hijau

Teh Kekwa
Kali pertama je kitorang teruja nak pesan air macam-macam. Lepas tu rasa erm... rugi je beli air herba yang pahit nak mati ni terutamanya Teh 8 Harta Karun dengan teh kekwa tu. Teh hijau jelah yang okey boleh diterima lagi. Lepas-lepas tu dah pandai dah kitorang ambil je air percuma yang disediakan. Kekadang ada air teh, kekadang air sirap. Bolehlah. Janji percuma kan?

Senang kata, termimpi jugalah dengan makanan kat Restoran Hot Pot Mee Tarik No.1 ni terutamanya mi tarik, satay kambing, kambing cucuk dengan sayur-sayurannya. Bagi korang yang sukakan makanan Cina atau mi tarik, bolehlah berkunjung ke sini ya?



Restoran Hot Pot Mee Tarik No.1
Wisma MPL,
130, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, 
50200 Kuala Lumpur, WPKLNo. Tel: 019-373 8252

Baca juga:

Tuesday, 3 December 2019

15 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Makau/Macau

December 03, 2019 2
15 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Makau/Macau

Hai semua,

Sekembalinya sis dari Makau/Macau tempoh hari, berikut merupakan perkongsian 13 perkara yang anda perlu tahu tentang Makau/Macau yang mungkin bermanfaat kepada mereka yang mahu melawat Wilayah ini:



1. Seperti Hong Kong, Makau/Macau juga merupakan Kawasan Pentadbiran Khas Wilayah Makau (中華人民共和國澳門特別行政區) di bawah Republik Rakyat China yang mana kedua-duanya mempunyai polisi pentadbiran yang berbeza. Oleh itu kedua-dua wilayah ini mempunyai mata wang sendiri iaitu HKD untuk Hong Kong dan MOP Macanese Pataca untuk Makau/Macau.

2.Tidak seperti wilayah lain di Negara China, anda tidak perlu memohon VISA untuk ke Hong Kong atau Makau/Macau. Passport sahaja sudah memadai.

3. Wilayah Makau/Macau terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Peninsular Makau (澳門半島)dan tiga bahagian pulaunya, iaitu Taipa (氹仔), Cotai (氹仔)dan Coloane(路環)



3. Tidak seperti China, Google dan Facebook tidak disekat di Makau dan Hong Kong. Jadi anda tidak perlu bersusah-payah untuk memuat turun VPN untuk membolehkan anda untuk mengakses Google dan Facebook di Makau/Macau dan Hong Kong

4.Sama seperti di Hong Kong, rata-rata rakyat di sini berkomunikasi dalam Bahasa Kantonis. Walaupun Makau/Macau pernah dijajah Portugis dan kebanyakan papan tanda, notis, nama jalan, nama kedai dan sebagainya mempunyai/menggunakan Bahasa Portugis, namun penduduknya tidak menggunakan Bahasa Portugis sebagai bahasa perantara. Mandarin boleh digunakan namun ramai juga yang tidak selesa berkomunikasi atau tidak fasih berkomunikasi dalam Bahasa Mandarin.

5. Susah nak dapat AirBNB di Makau/Macau, kalau ada pun harganya sangat mahal. Jangan tertipu dan buat tempahan sembarangan kalau terdapat AirBNB yang terletak di Zhuhai dan kononnya seberang Macau sahaja, lupakanlah sahaja kerana mungkin anda boleh jimat dari segi penginapan. Tetapi dari segi pengangkutan dan visa anda perlu keluarkan sejumlah wang yang lain (Zhuhai merupakan bandar di Wilayah GuangDong dan anda memerlukan visa multiple entry jika anda bercadang untuk tinggal di Zhuhai tetapi berjalan-jalan di Makau/Macau)

6. Pengangkutan utama di Macau ialah bas dan teksi sahaja. Tiada UBER/GRAB ataupun tren di sini. Namun kekerapan bas di Macau tinggi dan mudah didapati. Kosnya pula standard MOP 6 (lebih kurang RM3) sekali naik tanpa mengira sejauh mana stesen yang dituju. Kalau naik satu stesen je pun MOP 6, berbelas berpuluh stesen pun MOP 6 je. Jadi kalau dekat-dekat je, jalan jelah yer...jimat sikit MOP 6.
Bas pengangkutan umum di Makau

7. Kos hidup di Macau tinggi dan setara di Hong Kong. Melainkan korang memang datang nak shopping emas, barang berjenama atau barang kosmetik, memang tak ada apa sangat pon untuk dishopping.

8. Makau/Macau merupakan sebuah bandar bebas cukai aka duty free city. Jadi tak payahlah berangan nak dapatkan rebat cukai/tax rebate kalau shopping di sana ya.

9. Tandas di Makau/Macau bersih walaupun tandasnya tidak mempunyai water bidet (pancuran air) pada jambannya. Malah tandas di tempat tumpuan pelancong pun bersih dan tidak kotor seperti di negara-negara yang pernah saya kunjungi seperti Korea dan Taiwan

10. Makanan halal sebenarnya mudah dicari, namun kosnya agak tinggi. Purata harga makanan halal di Makau/Macau ialah MOP 80 (lebih kurang RM40) bagi setiap santapan manakala purata makanan ruji mereka lebih kurang MOP20-50

11.Matawang HKD diterima di Makau/Macau selain matawang mereka sendiri iaitu Macanese Pataca. Namun demikian, jika anda merancang untuk mencuba nasib di kasino, sediakan wang dalam HKD kerana kasino hanya menerima HKD sahaja.

12. Kalau anda ke Makau/Macau, passport anda tidak akan dicop. Sebaliknya, pihak imigresen hanya akan memberikan sekeping slip yang dinamakan kad ketibaan sahaja sebagai bukti anda telah memasuki Wilayah tersebut

13. Makau/Macau merupakan bandar Kasino. Kalau anda datang ke Makau, jangan lupa singgah ke kasino Makau/Macau yang pertama iaitu Grand Lisboa Macau yang juga merupakan kasino pertama di Makau. Di sini anda boleh melihat persembahan gadis seksi sepertimana yang kita nampak dalam kisah drama Las Vegas.
Grand Lisboa Hotel & Casino

14. Ramai pekerja dari Filipina yang datang bekerja di Makau/Macau. Makanya restoran Filipino juga banyak boleh didapati di Makau/Macau

15. Jangan terkejut jika anda nampak ramai pelancong dari wilayah lain China yang datang memborong barangan kosmetik di Makau/Macau dengan membawa bagasi tarik (luggage) memandangkan ia bandar bebas cukai

Sekian sahaja perkongsian sis kali ini, kalau berkelapangan, insyallah akan kongsikan lebih lanjut tentang percutian di Makau tempoh hari.

OXOXO

Wednesday, 20 November 2019

Review: Restoran Wangsa Grill by Chef Zubir

November 20, 2019 7
Review: Restoran Wangsa Grill by Chef Zubir

Hai korang,

Harini nak bercerita fasal makanan lagi. Harap jangan jemu ya? Seperti yang tertera pada tajuk, ulasan kali ini adalah tentang hidangan dan makanan di Restoran Wangsa Grill by Chef Zubir.


Kisahnya, beberapa minggu yang lalu, kitorang empat orang adik-beradik telah membuat perjumpaan keluarga di Restoran Wangsa Grill by Chef Zubir. Kalau nak diikutkan, kitorang empat adik-beradik perempuan ni memang rapat walaupun masing-masing selalu sibuk. Almaklumlah, semuanya wanita bekerjaya gitu. Tetapi sibuk-sibuk macam mana pun, keluarga sentiasa diutamakan.

Lagi-lagilah kalau kakak kesayangan kita yang ajak keluar berempat sama. Gitulah lumrah anak-anak yatim piatu, dah tak ada mak bapak, kakaklah jadi pengganti dan tempat bermanja.

Oleh kerana semua nak datang terus makan, maka dengan rakusnya kitorang sepakat nak datang pukul 12 tengah hari iaitu sebelum manusia datang serbu restoran tu lagi. Malah, menu juga telah diberikan kepada pihak restoran supaya pesanan kami boleh disediakan dengan lebih lancar. Kira sampai-sampai je, terus nak duduk dan makan je.


Sejujurnya, nilah kali pertama kita datang ke Restoran Wangsa Grill by Chef Zubir walaupun pernahlah juga orang dok uar-uarkan makanan kat sini sedap. Mana taknya? Jauh weh dari Shah Alam, daku tak segigih tu.

Dari segi lokasi, agak mudah untuk mencari restoran ni. Lagipun sederet rumah kedai tu macam tak banyak kedai makan. Jadi, parking tak jadi masalah sangat. Dari segi interior pula, ambiencenya agak selesa dan privasi. Sesuailah untuk dating atau buat perjumpaan keluarga mahupun majlis dan keraian syarikat. Yang lebih menarik lagi, dapurnya adalah berkonsepkan terbuka yang mana kita boleh lihat bagaimana hidangan kita disediakan.






Antara pesanan makanan yang kitorang buat haritu:

Classic Bolognaise-RM22.90
Classic Bolognaise ni Mia yang nak. Mia memang hantu spageti. Besar betul saiz hidangannya. Maknya yang kuat makan ni biasalah, mana boleh tengok makanan. Mesti nak cuba. Rasanya sedap. Sos spagetinya pun banyak. Tak kedekut langsung.

Wangsa Grill Chicken Chop -RM28.90
Ni pesanan makanan yang dibuat Hariz. Mamat ni, biasalah, pantang nampak ayam. Suka sangat ayam. Lepastu ada spageti jugak tu. Tetau licin je makanannya. Tinggal sayur je. Cis! Dasar anak jantan, sayur tak mau makan.

Aus BBQ Beef Back Ribs & Grilled Norwegian Salmon- RM46.90
Maknya acah-acah diet. Konon jaga makan. Makanya orderlah Australian BBQ Beef Back Ribs dan Grilled Norwegian Salmon ni. Ada makanan sampingan iaitu kentang lenyek dan juga salad. Sebagai orang yang cerewet, kita cukup berpuas hati dengan hidangan ni kecuali BBQ Beef Back Ribsnya kerana terlalu keras. Tak sangka, bila buat maklum balas macam tu, terus dia bagi satu set lagi maknanan ni. Ingatkan nak ganti Ribsnya je. Waktu kali kedua dapur ganti hidangan kita, memang perfectolah! Sangat-sangat memandang serius maklumbalas pelanggan.

'Pot Au Feu' of Aus Beef Short Ribs- RM44.50
Adik kita Azi buat pesanan Pot Au Feu ni. Dagingnya empuk. Cuma dari segi hidangan, kalau bagi kat kita, kita rasa tak kenyanglah kot. Hehehehe...

Big Mouth Burger-RM35.90
Adik ipar kita pula order Big Mouth Burger dan adik kita lagi seorang order Wangsa Grill Beef Burger. Oleh kerana adik kita lapar sebab menyusukan bayi. So, takdelah gambar Wangsa Grill Beef Burger. Tapi kalau berdasarkan pinggan diorang yang kosong tu, rasanya sedap menjilat jarilah. Oh ya, jejari kentang dia best. Tu je kita sempat makan.

Lepas makan hidangan diet kita tu, rasa lapar lagi. Mujurlah abang ipar kita ada order Grill Platter untuk dikongsi bersama. Yang ni serius berbaloi!! Sedap weh! Wajahnya pun begitu menggoda sekali. Tada!!

Grill Platter
Oleh kerana Grill Platter ni menu khas. Jadi sistur pun tak dapat nak korek balik harganya. Grill Platter ni sumpah sedap. Grill platter yang kitorang order ni terdiri daripada burger, sirloin, udang, salmon, pasta, kentang goreng, salad, kepak ayam dan ayam panggang.  Semuanya menepati citarasa dan secukup rasa. Katanya, set hidangan Grill Platter ni tak menentu. Kadang-kadang kandungan menunya bertukar-tukar.

Banyak lagilah menu-menu menarik yang ditawarkan kat Restoran Wangsa Grill ni. Korang memang patut cuba. Oh ya, katanya ada juga lunch set yang mesra poket ditawarkan dari semasa ke semasa. Boleh rujuk laman FB diorang ya untuk keterangan lanjut.

Gendang gendut tali kecapi kenyang perut senanglah hati. Tak sangka bila dah kenyang tu, boleh pulak lupa ambil gambar gathering kitorang. pffttt! Yang ada gambar kita, Mia ngan baby Arianna je. Apara! Dasar manusia yang mudah hilang ingatan apabila dah kenyang betul!



Restoran Wangsa Grill by Chef Zubir
8 - 10 Lorong Dataran Wangsa, Wangsa Melawati
Kuala Lumpur, Malaysia
FBWangsa Grill By Chef Zubir
Tel: 03-4141 9979

Waktu Beroperasi:
Isnin - Ahad (Setiap Hari), 11.30 pagi - 10.30 malam


Baca juga:

Tuesday, 29 October 2019

Cara Semak Kelayakan Program Subsidi Petrol (PSP)

October 29, 2019 3
Cara Semak Kelayakan Program Subsidi Petrol (PSP)

Hai semua,

Sekarang ramai yang kecoh fasal Program Subsidi Petrol (PSP). Dikatakan ramai yang telah mula menerima subsidi petrol yang dikreditkan terus ke dalam akaun penerima.

Apakah itu PSP?
Program Subsidi Petrol (PSP) ni ialah inisiatif Kerajaan untuk membantu golongan berpendatapan rendah menerusi pengagihan semula subsidi petrol yang mana bantuan kewangan akan diberikan kepada golongan yang layak ini bagi menampung sebahagian kos penggunaan petrol bulanannya.

Kalau ikut subsidi petrol pukal yang dilaksanakan semua ni, semua orang layak menerima subsidi tanpa mengira kerakyatan dan pendapatan. Tapi menurut Program Subsidi Petrol ni, subsidi hanya akan diagihkan dengan lebih saksama dan berpandukan data kepada warganegara yang memerlukan saja.

Jadi, macam mana nak semak kelayakan PSP ni?
Senang kata, penerima PSP ni bagi mereka yang layak meneria BSH iaitu Bantuan Sara Hidup atau dahulunya dikenali sebagai BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) sahaja.

Kalau korang bukan penerima BSH, maka tak dapatlah PSP ni.

Cara nak semak kelayakan, mudah sahaja.

Boleh pergi SEMAK DI SINI dan tekan semak kelayakan.


Lepas tu bolehlah isi nombor kad pengenalan anda.


Memandangkan sis bukan penerima BSH, makanya tidak layaklah untuk PSP ni.


Bagi mereka yang tak layak tetapi ingin membuat rayuan. Bolehlah tekan ingin merayu ya.

Namun ingin diingatkan, anda perlulah mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM4000.



Kalau nak merayu, hanya perlu kemaskini Nama, Nama Bank dan Nombor Akaun. Namun, sebaik-baiknya kemaskinilah data dalam pengkalan data BSH secara terus untuk lebih mudah dan cepat.

Oh ya, sekiranya anda penerima BSH sekalipun, bukan semua kenderaan layak untuk BSH ni ya. Ada kelayakan tambahan lagi. Berikut senarai penuh syarat kelayakan PSP:


1. Merupakan penerima BSH beralamat di Semenanjung Malaysia sahaja;
2. Memiliki kenderaan persendirian yang berdaftar dan mempunyai Lesen Kenderaan Motor yang masih sah;
3. Had pemilikan kenderaan individu adalah 2 buah kereta dan 2 buah motosikal;
4. Kriteria kenderaan yang layak berdasarkan kapasiti enjin:


5. Kadar kelayakan subsidi mengikut pemilikan kenderaan:


Pada mulanya kerajaan hanya memperuntukkan subsidi untuk golongan B40 sahaja. Namun selepas diteliti, golongan M40 juga akan diperuntukkan subsidi menerusi Kad95.

Namun kaedah dan mekanisme bagi Kad95 masih belum dikaji lagi dan dikatkaan akan dilaksanakan mulai Mac 2020.


OXOXO

Wednesday, 23 October 2019

Tips Atasi Masalah Kulit Kering Tetapi Berminyak

October 23, 2019 1
Tips Atasi Masalah Kulit Kering Tetapi Berminyak

Hai semua,

Harini saya nak cerita fasal masalah kulit kering dan berminyak yang telah menimpa saya setelah pergi melancong ke Eropah. Disebabkan perbezaan iklim dan cuaca di negara empat musim yang saya kunjungi, malangnya saya telah mengalami beberapa masalah kulit yang menjejaskan keyakinan dan penampilan diri sendiri.



Antara masalah kulit yang saya hadapi sepanjang percutian sehinggalah kembali ke Malaysia adalah seperti berikut:

-Kulit terkena selaran matahari yang teruk dan berwajah gelap dan kusam
-Kulit kering tetapi berminyak, pori-pori membesar
-Jerawat tumbuh dan warna kulit tak sekata
-Warna kulit tak sekata dan solekan tidak lekat pada wajah.
Pening betul kalau kulit-kulit jadi bermasalah
Memang sudah menjadi lumrah setiap kali pulang dari bercuti sahaja, tentu ada saja masalah kulit yang akan menjadi igauan. Mana tidaknya? Kulit Asia seperti kulit kita tak biasa dengan cuaca musim panas di negara luar yang panasnya terik, tetapi berangin kering dan sejuk. Jadi, berlakulah kitaran seperti berikut:

1. Kulit menjadi dehidrasi akibat selaran matahari dan ditiup angin sejuk dan kering
2. Pori-pori merembeskan sebum/minyak bagi mengatasi kekeringan kulit
3. Pori-pori membesar kerana perlu sentiasa mengeluarkan sebum supaya kulit kekal lembap
4. Pori-pori berisiko tersumbat kerana sebum berlebihan/kulit mati yang kering dan menyebabkan jerawat/akne/cela

Ditambah pula dengan penjagaan kulit yang tidak sempurna kerana sering merasa letih setelah seharian padat dengan aktiviti melancong dan berkunjung ke sana-sini. Saya tak nafikan, penjagaan kulit selalu terabai sehinggakan mencetuskan masalah kulit.

Bila pulang ke Malaysia, adik pula telah menegur betapa teruknya kulit saya setelah bercuti lama di negara orang. Katanya, kulit saya kusam dan gelap, malah berkilat dan berjerawat. Patutlah sepanjang percutian tu, solekan nampak bertompok. Rupa-rupanya tanpa disedari, kulit telah terkena selaran matahari dan anginnya yang sejuk tetapi kering juga membuatkan kulit berminyak tapi pada masa yang sama, ada kulit yang menggelupas.

Menyedari betapa seriusnya masalah kulit yang saya hadapi, saya tahu saya perlu kembali ke realiti dan juga rutin penjagaan kulit seperti biasa. Oleh kerana terlalu berseronok sewaktu bercuti, padahnya berminggu-minggulah waktu yang saya kena habiskan untuk merawat kulit supaya kembali sihat dan berseri seperti sebelumnya. Umpamanya membeli-belah sakanlah kata orang. Masa habiskan duit sekejap je, nak menabung balik, bukan main lama lagi.

Untuk mengatasi masalah kulit kering tetapi berminyak macam ni, sebenarnya kuncinya ialah memastikan kulit sentiasa terhidrasi dan lembap. Selain minum air yang cukup, kulit pun perlukan air yang mencukupi. Tetapi, macam mana nak bagi kulit minum air?

Kulit yang terhidras perlukan kelembapan
Petuanya senang saja, gunakan pelembap kulit yang berasaskan air seperti Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream. Dalam kes saya, Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream memang satu solusi yang terbaik kerana selain kering tetapi berminyak, kulit saya juga terkena selaran matahari (sunburn) dan berjerawat.

Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream -Krim pencerah berasaskan air


Cara-cara penggunaan serta kandungan bahan


Pembungkusan yang ringkas. Sesuai untuk semua jenis kulit

Mampu membuatkan wajah tampak lebih bermaa dengan kecerahan, tona dan tekstur yang diperbaik

Nampak tak teksturnya yang seakan-akan gel. Lembap dan berkilat
Bila diletakkan pada kulit tangan, bagaikan awan yang cair menjadi titisan hujan gitu
Nampak tak bila disapu teksturnya mencair?

Tekstur yang penuh hidrasi dan mudah diserap
Bila diusap, lama-kelamaan akan menjadi titisan air yang melembap

Lagi banyak krim ni disapu, lagi banyak titisan air yang akan terhasil
Lebih titisan air, lebih kelembapan


 Makanya Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream merupakan pilihan yang terbaik kerana:

🌸 Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream ini tidak mengandungi paraben, sulfat dan alkohol, iaitu antara bahan- bahan kimia yang boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit yang melecet atau menggelupas akibat selaran matahari. Penggunaan krim pemutih wajah yang mengandungi bahan-bahan kimia ini boleh menyebabkan kulit yang terkena selaran matahari menjadi lebih sensitif dan kemerah-merahan. Hal ini boleh menyebabkan sel-sel kulit kita lambat untuk dibaik pulih.

🌸 Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream yang berasaskan air ini mengandungi Camellia Japonica Seed Oil dan ia mampu melembap kulit sehingga ke lapisan yang lebih mendalam
Salah satu punca kulit berminyak adalah kerana kulit kekurangan kelembapan, jadi minyak pun dirembeskan bagi mengelakkan kulit menjadi kering dan seterusnya menyumbang kepada masalah pori-pori besar. Dengan fungsi melembap Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream, masalah kulit berminyak dan pori-pori besar dapat ditangani dengan mudah sekali.

🌸 Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream ini juga mengandungi niacinamide yang juga dikenali sebagai Vitamin B3. Niacinamide bahan yang bagus untuk kulit kita kerana mampu melambatkan proses penuaan, mengecilkan liang roma, menganjalkan kulit serta memperbaiki tona kulit yang tak sekata. 


Jika tak sesuai dengan kulit, pastikan anda hentikan penggunaanna

Krim yang berasaskan air ni dapat memuihkan kulit yang terimpak akibat selaran matahari
Biasanya saya akan menggunakan Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream ni sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi selepas mandi dan juga waktu malam sebelum tidur.

Dotkan di tempat-tempat utama wajah

Usap lembut keseluruh wajah. Leher jangan dilupakan tau
Urut juga pada dagu supay dagu runcing
Wajah nampak lembap dan berseri

Hasil penggunaan konsisten Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream, kulit saya telah mula menampakkan kesan-kesan positif seawal 7 hari. Antaranya:

🌸 Kulit tampak lebih cerah dan sekata
🌸 Kulit tidak lagi berminyak dan lebih lembap
🌸 Pori-pori tidak begitu kelihatan seperti sebelum ini
🌸 Cela pada kulit juga berkurangan
🌸 Solekan lebih tahan lama dan tampak lebih semulajadi


Penggunaan konsisten buat kulit nampak lebih cerah sekata dan bermaya
Sebelum tido pun jangan lupakan Hansaegee Nature Aqua Whitening Cream ni

Alhamdulillah, setelah konsisten merawat kulit, kulit bertambah sihat dan cantik

Walaupun kulit saya sekarang sudah bertambah pulih dan saya lebih yakin dengan kulit yang semakin sihat hari demi hari, saya tetap perlu terus-menerus mengamalkan penjagaan kulit yang sihat. Lagipun masalah jerebu di negara kita masih belum selesai sepenuhnya.

Senang kata, kunci utama kulit yang sihat sebenarnya adalah kelembapan kulit. Kita pun tahu 90% kandungan badan kita sebenarnya ialah air. Makanya, selain kekal hidrasikan tubuh badan dengan minum air yang mencukupi, kulit kita juga perlukan 'air' dan 'kelembapan' yang tersendiri untuk kekal sihat. Nak cantik, memang kena rajin. Bak kata pepatah, tak ada perempuan yang tak cantik, cuma da perempuan yang tak rajin.

Untuk maklumat lanjut, boleh semak social media handle Hansaegee Nature ni ya

Company name: Hansaegee Nature
Website: www.hansaegee.com/shop
IG page: https://www.instagram.com/hansaegeenature/
FB page: https://www.facebook.com/HansaegeeNature
Youtube page: https://www.youtube.com/c/HansaegeeNatureMalaysia





                                                                                        Home